Sebagaimana kita maklum bahawa syahadatain merupakan asas yang terpenting tertegaknya Islam bagi diri seorang Islam. Tidak tegak Islam atau tidak terdiri Islam jika tidak sempurna syahadatain. Bahkan tidak ada Islam sebelum adanya syahadatain.
Dengan lain perkataan kalimah syahadatain merupakan asas utama bagi rukun yang lain dalam Islam. Andainya seseorang tidak mengiktiraf syahadatain maka tidak dianggap sebagai seorang Islam. Lantaran itu kedudukan kalimah syahadatain merupakan rukun pertama dalam Islam dan asas dalam segala bahagian Islam keseluruhannya.
Syahadatain juga melambangkan jiwa Islam yang syumul. Andainya nyawa merupakan nadi kepada badan seluruhnya maka kalimat “Lailaillah Muhammadur Rasulullah” juga merupakan nyawa bagi setiap aspek dan bahagian daripada Islam. Oleh itu setiap amalan pekerjaan dan ibadah orang Islam yang tidak bersandarkan kepadanya adalah diibaratkan seperti menanam benih yang mati. Begitu juga sebarang amalan-amalan kebajikan orang kafir itu tidak ada harganya di sisi Allah dan dianggap seperti bangkai lantaran tidak ada roh syahadatain.
Dari itu kemasukan seseorang ke dalam Agama Islam mesti dimulakan dengan satu pengisytiharan syahadah yang memisahkan dirinya dengan zaman lamanya yang membawa ke alam baru. Pengisytiharan ini membawanya dari bukan Islam kepada Islam dari sistem jahiliah kepada sistem Ilahi. Pengistiharan tersebut dinamakan sebagai syahadah.
Pengisytiharan ini dilakukan dengan dorongan kepercayaan dan keyakinan terhadap kepalsuan zaman silamnya serta kebenaran zaman Islam. Pengisytiharan ini mesti disertakan dengan keimanan dan keyakinan. Tanpanya pengisytiharan itu tidak mempunyai kekuatan. KeIslaman mereka laksana padi dihisap susunya oleh kerang-kerang dan di makan isinya oleh unggas-unggas.
Sebaliknya sekiranya keimanan dan keyakinan yang tidak diisytiharkan merupakan keimanan dan keyakinan yang telah dinodai oleh ketakutan dan kelemahan menghadapi kenyataan.
Seterusnya keimanan dan keyakinan itu mesti disusuli dengan keberanian untuk memperjuangkan jika tidak memperjuangkan pegangan mereka masih boleh dipersoalkan. Oleh itu kelihatan di sini pentingnya syahadah dan tuntutan supaya bersyahadah.
MAKNA SYAHADAH
Syahadah ialah perkataan dalam bahasa Arab yang mengandungi berbagai makna. Antaranya :
1. Memberi makna ilmu,penerangan,pengkhabaran,kenyataan.
Oleh itu orang yang bersyahadah dipanggil saksi atau naik saksi kerana ia boleh mengkhabarkan atau memberitahu apa yang diketahui oleh Nya mengenai sesuatu perkara.
2. Memberi makna pengakuan,atau pengiktirafan atau kepercayaan.
Jadi seseorang yang bersyahadah/bersaksi memang mempercayai dan berkeyakinan akan kebenaran / benarnya sesuatu yang disaksikan. Tegasnya mesti mempercayai dan berkeyakinan terhadap kebenaran apa yang disyahadahkan. Jika tidak, bermakna syahadah itu dusta atau palsu. Ini disebabkan ketenangan atau kenyataan yang dibuatnya itu tidak menepati keyakinannya.
PEMBAHAGIAN SYAHADAH
1. Syahadah Tauhid
Iaitu penyaksian bahasa Allah sahaja Tuhan yang sebenarnya berhak disembah, tiada Tuhan melainkan Allah.
2. Syahadah Risalah
Iaitu penyaksian bahawa Nabi Muhamad itu pesuruh Allah yang terakhir.
Syahadah Tauhid itu mengandungi dua bahagian.
1. Tauhid Rububiyah
2. Tauhid Uluhiyah
Tauhid Rububiyah
Iaitu menyaksikan atau mengiktirafkan bahawa Allah sahajalah Tuhan yang Maha Pencipta, Pemilik yang Mutlak, Pemeliharaan, Penguasa dan Penentu terhadap seluruh makhluknya. Sebab itu Tauhid Rububiyah dapat diertikan dengan Tauhid Ciptaan. Maksudnya Allahlah pencipta yang menghidupkan dan mematikan, yang melaksanakan perintah dan hukum kepada semua makhluk. Ditangannyalah terletak pemerintahan dan Dialah yang berkuasa atau sesuatu. Allah mengurus dan mentadbirkan alam buana menurut kehendaknya. Dialah yang mengatur segala maslahat untuk kebaikan makhluknya. Dialah yang berkuasa memberi manfaat dan mendatangkan mudharat. Seterusnya berkuasa penuh untuk menghidupkan atau mematikan.
Tauhid Uluhiyah
Menyaksikan atau mengiktikadkan bahawa Allah sahaja Tuhan yang berhak disembah, mengabdikan atau memperhambakan diri kepadanya semata-mata. Tegasnya bahawa hanya kepada Tuhan yang satu itulah kita menyembah, memuja, meminta tolong, beribadat dan berzikir. Hanya Tuhan yang satu itulah yang kita sanjung, kita puji dan Tuhan yang satu itulah kita meminta kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat nanti. Jadi kita tidak boleh bermohon, meminta kepada selain daripada Allah seperti kubur, berhala, syaitan seterusnya kepada manusia, ulamak tertentu, wali-wali, malaikat dan sebagainya.
Hubungan
Hubungan antara syahadah Rububiyah dengan syahadah Uluhiyah sangatlah rapat dan tidak boleh dipisahkan. Syahadah Ruhubiyah menjadikan kita percaya wujudnya Allah sebagai Tuhan yang maha Esa. Pencipta, Pemilihara, Pengawasan dan Penentu. Pengakuan syahadah ini mestilah melahirkan kesan yang sentiasa ada hubungannya dan kaitannya dengan Allah iaitu dengan cara beribadat, menghambakan dan mengabdikan diri kepada Allah semata-mata. Pengabdian itu sebagai hasil atau buah syahadah Rububiyah, mempercayai wujudnya Tuhan yang Maha Esa.
Tauhid Rububiyah tidak bernilai apa-apa kalau tidak disertai dengan Tauhid Uluhiyah. Pengakuan bahawa alam ini diciptakan seluruhnya oleh satu Tuhan tidak mempunyai nilai apabila tidak diiringi dengan ibadah serta ketaatan terhadap Tuhan yang satu kerana kesanggupan kita mentauhidkan Allah Taala dari segi Rububiyah mestilah dengan segala pengertiannya yang bersedia mengabdikan diri kepadanya.
Oleh itu nyatalah bahawa Tauhid Rububiyah dipunyai oleh semua manusia sama ada yang mukmin atau yang kafir bahkan dipunyai oleh binatang-binatang yang tidak berakal, alam benda atau alam batu, gunung-ganang, tumbuh-tumbuhan yang segala macam jenis cakerawala di dunia dan di alam akhirat.
Sedangkan Tauhid Uluhiyah dipunyai hanya oleh beberapa orang manusia iaitu orang-orang yang beriman kepadanya. Di samping mereka mengaku adanya Tuhan yang menciptakan segala yang ada, mereka juga menundukkan kepadanya menyembah kepada Allah, beribadat menyembah Allah, berzikir membesarkan Allah, memuji Allah dan mensucikan Allah dan menjalankan perintah Allah dengan perantaraan Nabi dan Kitab-kitab Suci dan dengan perantaraan agamanya serta agama Islam.
SYAHADAH RASUL DAN KEPENTINGANNYA
Syahadah ini merupakan lunas-lunas kedua dalam Islam. Tidak dapat ditegakkan kalimah ini kecuali terlebih dahulu mengetahui Rasulnya. Dengan perantaraan Rasul ia dapat menunjukkan jalan bagi mentahkikkan kuasa Allah. Tanpa jalan-jalan dan petunjuk dari Rasul di dalam mentauhidkan Allah nescaya seseorang itu akan menemui jalan yang buntu dan terbenam di dalam kesesatan, tidak berpijak di atas asas-asas yang betul. Oleh itu seseorang yang faham tentang makrifah kerasulan ia akan faham makrifah ketuhanan. Ia tidak melaksanakan hak-hak Allah keatasnya kecuali setelah mengetahui tentang kerasulannya.
Manusia tidak sampai kepuncak kesempurnaan dan kebahagiaan yang sebenarnya melainkan setelah mendapat bimbingan dan petunjuk daripada Rasul. Kemampuan dan kesanggupan otak atau akal fikiran manusia dalam mencapai matlamat tersebut amat terbatas sekali. Dengan itu setiap pengingkaran kepada rasul bererti kejahilan kepada Allah dan tidak menghargai Allah sebagai penghargaan yang sewajarnya. Oleh itu orang yang bersikap demikian dinamakan kafir.
KANDUNGAN-KANDUNGAN SYAHADAH RASUL
Syahadah Rasul mengandungi beberapa pengertian dan aspek yang luas yang mesti diyakini oleh semua umat Islam iaitu :
1. Yakin bahawa Nabi Muhammad itu sebenarnya seorang Rasul atau utusan dari Allah.
2. Yakin bahawa Nabi Muhammad itu utusan yang terakhir.
3. Yakin tentang segala ajaran yang dibawa oleh Muhammad adalah benar.
4. Yakin bahawa syari’ah (Ad-din) agama yang dibawa oleh Muhammad adalah lengkap dan sempurna.
5. Menerima dan mengamalkan syariah atau ajaran yang dibawa oleh Muhammad.
6. Memberikan taat setia dan menghormati Rasul semasa hayatnya dan setelah wafatnya.
TUNTUTAN SYAHADAH
Secara umum apabila seseorang itu bersyahadah maka bermakna ia :
1. Memperakui dan menerima Islam sebagai Ad-din
2. Memperakui tunduk di bawah naungannya
3. Wajib menyesuaikan hidupnya mengikut lunas-lunas Islam
4. Menghayati dan memperjuangkan prinsip-prinsip Islam
5. Melaksanakan amalan dan tindakan semata-mata kerana Allah.
HAK-HAK SYAHADAH
Di antara hak-hak syahadah yang penting terkandung di dalam tuntutan agama ialah :
1. Menerima Islam sebagai cara hidup dan menolak sistem lain yang bertentangan dengannya.
2. Menunaikan tuntutan agama dalam perkara-perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang.
Perkara-perkara yang disuruh oleh agama terbahagi kepada tiga :
1. Diwajibkan secara fardhu ain.
2. Diwajibkan secara fardhu kifayah
3. Disuruh secara sunat.
Diantara kewajipan yang tergolong dalam lingkungan fardhu ain :
1. Menuntut ilmu iaitu Ilmu Tauhid, Ilmu mengenai rahsia hati dan Ilmu syariah.
2. Memenuhi tuntutan-tuntutan rukum Iman dan rukun Islam dengan mengimani rukun-rukun itu dan membentuk kepercayaan dan pandangan hidupnya yang sesuai dengannya.
3. Meninggalkan semua larangan yang disenaraikan di dalam lingkungan dosa-dosa besar seperti syirik, derhaka kepada kedua ibubapa, lari dari jihad, membunuh diri, meninggalkan sembahyang dan lain-lain.
Di antara kewajipan-kewajipan yang tergolong dalam lingkungan Fardhu Kifayah ialah :
1. Menyeru manusia kepada yang maaruf dan menegah kemungkaran
2. Mengadakan dan mendirikan solat berjemaah
3. Menyediakan keperluan umat Islam seperti pakaian, bahan-bahan makanan, peralatan senjata da sebagainya sehingga umat Islam tidak bergantung kepada belas kasihan orang-orang lain untuk mendapatkana keperluan hidupnya.
4. Mempertahankan syahadah yang dilafazkan dan makna yang terkandung di dalamnya. Maksudnya mempertahankan akidah Islam dan syariat yang dibawanya.
5. Membentuk jemaah yang memperjuangkan aqidah dan syariat Islam dalam rangka memenuhi hak syahadah.
PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN SYAHADAH
Oleh kerana agama Islam ialah agama Fitrah maka setiap orang Islam hendaklah bersyukur kerana ia bertuah menerima taufik dan hidayah dari Allah s.w.t. hingga dengan itu ia menjadi seseorang yang beragama Islam.
Oleh yang demikian hendaklah ia meneguhkan pegangannya kepada agama yang mulia itu dan memeliharanya dari segala apa yang boleh merosakkannya kerana agama Islam sahajalah yang diredhai Allah dan menentukan nasibnya untuk mencapai kebahagiannya yang sebenar-benarnya khasnya di akhirat kelak.
Surah Al-Imran (102)
Maksudnya :
“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benarnya takwa kepadanya dan jangan sekali-kali kami mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.
Adalah tidak akan menerima taubat orang yang murtad sebagaimana diterangkan dalam Al-Quran berbunyi :
Surah Al-Iman (90)
Maksudnya :
“Sesungguhnya orang-orang kafir sesudah beriman kemudian bertambah kekafirannya, sekali-kali tidak akan diterima taubatnya dan mereka itu orang-orang yang sesat.”
Rosaknya syahadah, iman dan Islam dinamakan riddah yang ditakrifkan oleh ulamak sebagai berbalik menjadi kafir setelah beragama Islam dan orang yang melakukan yang demikian dinamakan murtad.
Riddah ialah seburuk-buruk dan sekeji-keji jenis kafir kerana orang yang murtad berlainan hukumnya dengan orang-orang kafir yang lain pada beberapa perkara :
1. Orang murtad tidak harus dibiarkan dalam keadaan riddahnya melainkan hendaklah pihak yang berkuasa menyuruhnya bertaubat kembali kepada Islam. Kalau tidak hendaklah dikenakan hukuman bunuh sebagaimana yang diterangkan oleh beberapa hadis Rasulullah s.a.w. bersabda :
Maksudnya :
“Sesiapa yang menukar agama Islamnya maka hendaklah kamu membunuhnya”
2. Tidak sah perkahwinan orang murtad sama ada ia sendiri berkahwin atau mengahwinkan orang lain. Bahkan isterinya wajib dipisahkan daripadanya. Sekiranya ia kembali menjadi Islam semula sebelum habis iddah maka kekallah isterinya itu menjadi isteri kepadanya kalau tidak maka isterinya itu bercerai daripadanya mulai dari saat itu menjadi murtad.
3. Haram memakan penyembelihannya
4. Tidak boleh menerima pusaka dan tidak boleh pula dipusakai bahkan semua hartanya dimasukkan ke dalam Baitul Mal.
PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN SYAHADAH
Perkara-perkara yang menyebabkan batalnya syahadah atau rosaknya iman dan Islam itu terbahagi kepada tiga :-
1. Iktiqad
2. Perkataan
3. Perbuatan
Iktikad
Ialah segala kepercayaan yang berlawanan dan bertentangan dengan dasar-dasar kepercayaan agama Islam.
(contoh sila rujuk Buku Mustika Hadis m.s. 261)
Perkataan
Ialah tiap-tiap perkataan yang mencaci, menghina, merendah-rendah, mengejek-gejek dan mempermainkan nama-nama Allah, sifatnya, malaikatnya, Rasulnya, kitab-kitabnya, ayat-ayatnya dan hukum-hukumnya serta hukum-hukum yang diterangkan oleh Rasulnya.
(Contoh-contoh sila rujuk seperti di atas m.s. 261)
Perbuatan
1. Tiap-tiap perbuatannya yang dilakukan untuk menghormati dan mengagongkan mana-mana makhluk dengan cara yang ditentukan hanya untuk membesarkan dan mengagongkan Allah seperti sujud kepada makhluk walaupun tidak dengan niat untuk menghormatinya sama seperti Tuhan atau tunduk kepada mana-mana makhluk sehingga sampai kepada had sekurang-kurangnya rukuk sembahyang dengan tujuan menghormatinya sama menghormati Allah. Kalau tidak dengan tujuan itu maka tidaklah menjadi orang yang melakukan itu murtad tetapi hukumnya berdosa.
2. Melakukan upacara ibadah terhadap sesuatu makhluk yang disembah oleh orang-orang kafir menurut upacara yang mereka lakukan.
3. Melakukan mana-mana cara ibadat terhadap yang lain dari Allah.
4. Meletakkan ayat-ayat suci, hadis-hadis nabi, nama Tuhan, rasulnya, malaikatnya dan ilmu-ilmu agama di tempat Najis atau kotor dengan tujuan menghina dan merendahkannya. Kalau tidak dengan tujuan tersebut maka hukumnya tetap haram.
5. Meninggalkan sembahyang jika ia ingkarkan akan hukum kewajipannya.
IBADAH DALAM ISLAM
Objektif
1. Pelajar dapat memahami konsep yang betul mengenai ibadah dan dihayati sebagai satu cara hidup.
2. Pelajar dapat membezakan dan membandingkan antara agama Islam dengan agama-agama lain mengenai fahaman ibadah dan konsepnya.
3. Pelajar boleh menganalisa ciri-ciri utama lagi penting Ibadah yang boleh diterima oleh Allah serta mendapat keredhaannya.
4. Memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar pembahagian Ibadah dan kedudukannya dalam kehidupan manusia.
5. Memberi panduan dan tunjuk ajar kepada pelajar mengenai cara-cara dan syarat-syarat pekerjaan atau amalan-amalan umum boleh dijadikan sebagai ibadah.
6. Pelajar dapat memikir dan menghayati segala hikmat yang diperolehi dari beribadat.
Ibadah Dalam Islam
Ibadah dalam Islam adalah berlainan sama sekali dengan Konsep dan amalan-amalan lain-lain agama atau kepercayaan. Ianya bukan perbuatan mengasingkan diri, menolak dan meninggalkan kehidupan dunia sebagaimana yang dipelopori oleh golongan “asceiimo”. Ianya juga bukan terbatas kepada tempat-tempat tertentu sahaja atau hanya dilakukan melalui perantaraan orang-orang yang tertentu atau dewa-dewa yang dipilih dan dibuat khas untuk tujuan ini, tanpa mereka amalan seseorang itu tidak akan diterima. Konsep-konsep seumpama ini tidak ada tempat langsung di dalam syariat Islam. Namun demikian, pengaruh konsep asing ini dapat juga menyerap ke dalam kehidupan sebahagian besar umat Islam. Oleh itu timbullah berbagai tanggapan terhadap ibadah, ada yang menganggap ibadah itu tertumpu kepada solat, puasa, haji dan zakat sahaja, terdapat juga mereka yang mengaku beribadat kepada Allah tetapi ubudiah mereka juga diberikan kepada selain dari Allah. Malah ada yang berpendapat bahawa ruang lingkup ibadah itu sama sekali tidak ada kaitannya dengan urusan masyarakat terutama di bidang politik.
Ibadah dalam Islam adalah merupakan kemuncak dari perasaan tunduk dan patuh kepda Allah dan klimak dari perasaan yang merasakan kebesaran Allah sebagai tempat pengabadian diri. Ibadah juga merupakan tangga penyambung antara akhlak dan penciptanya. Selain dari itu ibadah mempunyai kesan-kesan yang mendalam di sudut hubungan makhluk dan penciptanya.
Sebenarnya Islam telah meletakkan ibadah di tempat yang paling istimewa sekali di dalam Al-Quran di jelaskan seluruh jin dan manusia dijadikan semata-mata untuk tujuan ini. islam juga telah memberi pengertian yang luas terhadap ibadah. Tegasnya Islam menuntut supaya seluruh kehidupan ini dapat ibadah dan taat kepada Allah. Inilah yang dimaksudkan dengan firman Allah :
[surah Az Zuriai 50 57]
Maksudnya :
Dan Allah tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah Aku
Definasi Ibadah
Dari segi bahasa “ibadah” bererti merendah diri, tunduk, patuh dan taat.
Dari segi syarak “ibadah” diertikan sebagai taat, tunduk patuh dan merendah diri sepenuhnya kepada Allah.
Sheikh Ibn. Taimiyah pula menyatakan, “Ibadah asal maknanya kehinaan, tetapi ibadah yang diperintah Allah atau yang disyariatkan ke atas manusia merangkumi makna kehinaan dan kecintaan bersama iaitu kemuncak kehinaan diri seseorang bila berhadapan dengan Allah dan kemuncak kecintaannya kepadanya.
Al-Tabari pula, menjelaskan maksud ibadah iaitu khusuk kepadanya, merendah diri dan tetap hati kepadanya.
Sebagai kesimpulan ibadah bermaksud merangkumi segala perkara yang disukai Allah dan diredhaiNya, sama ada keyakinan, sikap, perkataaan, amal perbuatan, zahir atau batin. Dalam kata lain ibadah ialah segala aktiviti manusia yang zahir dan batin dalam mengerjakan sesuatu perkara atau meninggalkannya semata-mata dengan niat mencari keredhaan Allah.
Ciri-Ciri Ibadah Dalam Islam
1. Perhubungan manusia dengan Allah adalah secara terus menerus, tidak memerlukan perantaraan. Ini berbeza dengan apa yang terdapat di dalam agama Kristian, rahib-rahib berperanan sebagai Tuhan iaitu dalam menentukan hukuman dan mengampunkan dosa-dosa penganut agama tersebut. Dalam Islam hanya Allah sahaja sumber hukum dan berhak mengampunkan dosa-dosa manusia. Namun demikian para alim ulamak berperanana memandu anggota masyarakat ke arah melakukan peribadatan dengan cara yang betul.
2. Tiada terkongkong pada suatu tempat peribadatan. Ibadah boleh dilakukan di mana-mana saja khasnya di mana saja berada berada perhubungan yang langsung kepada Allah dapat dilakukan. Islam menganggap seluruh bumi kecuali tempat-tempat yan najis dan kotor sebagai Masjid. Hal ini dapat dilihat dalam amalan Rasulullah S.A.W. sendiri, baginda bersembahyang di tengah-tengah padang pasir dan juga semasa berkenderaan.
3. Ruang ibadat dalam Islam amat luas sekali. Ianya merangkumi setiap aktiviti kehidupan manusia. Setiap apa yang dilakukan baik bersangkutan dengan individu mahupun masyarakat boleh dijadikan sebagai ibadah kepada Allah jika memenuhi syarat-syarat tertentu.
4. Dalam ajaran syariah Islam hanya Allah sebagai Tuhan yang Maha Esa, yang berhak disembah dan mengabdikan diri kepadanya oleh manusia dan sekelian makhluk.
5. Ikhlas dan niat yang bersih, betul dan menurut ajaran Islam adalah syarat asas penerimaan sesuatu amal ibadat.
6. Sesuatu ibadat hendaklah dilakukan menurut cara-cara, kaedah-kaedah dan peratuaran-peraturan yang disyariatkan oleh Allah.
7. Hendaklah ibadat itu dilakukan dengan menyedari tentang konsep keseimbangan antara rohaniah dan kebendaan.
[Al-Baqarah 201]
Maksudnya :
Walau Tuhan kami kurniakanlah kebaikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat. Dan peliharalah kami daripada seksa azab neraka.
6. Segala amal ibadat dalam ajaran Islam adalah berpandukan kepada prinsip kemudahan dan keriangan serta mengelakkan kesukaran.
Pembahagian Ibadah :
A1. Ibadah Khusus : Ia adalah merupakan sekumpulan perintah yang wajib dilakukan sebagaimana yang terkandung dalam rukum Islam dan juga seumpama seperti sembahyang, puasa, zakat, haji, tilawatul Quran, zikir dan sebagainya.
2. Ibadah Umum : Segala perkara atau pekerjaan selain dari yang tersebut di atas yang dilakukan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah.
B.1 Ibadah Dadaniah: tubuh badan seperti sembahyang, menolong orang dalam kesusahan dan lain-lain.
2. Ibadah Maliyah : hartabenda seperti zakat, memberi sedekah, derma dan lain-lain.
3. Ibadah Qalbiyah: hati seperti sangka baik, ikhlas, tidak hasad dengki dan lain-lain.
C.1 Ibadah Ijabiyah : positif iaitu perintah amal
2.Ibadah Salbiyah : negatif iaitu perintah tinggal
Syarat-Syarat Pekerjaan / Amalan Menjadi Ibadah
Sesuatu pekerjaan atau sebarang amalan itu boleh dijadikan sebagai ibadah kepada Allah sekiranya memenuhi syarat-syarat seperti berikut :
1. Orang yang melakukan hendaklah beragama Islam.
2. Amalan yang dikerjakan itu hendaklah diakui Islam. Sesuai dengan hukum syariah dan tidak bercanggah dengan hukum-hukum tersebut. Adapun amalan-amalan yang diingkari Islam seperti pekerjaan yang ada hubungannya dengan riba, tari menari, perkara-perkara maksiat dan sebagainya, tidaklah sekali-kali menjadi ibadah. Allah bersifat bersih dan baik, tidak menerima amalan yang kotor kecuali yang baik dan bersih sahaja.
3. Amalan-amalan itu dikerjakan hendaklah dengan niat yang baik. Sama ada untuk memelihara kehormatan diri atau menyenangkan keluarganya atau memberi munfaat kepada umatnya atau untuk memakmurkan bumi Allah sebagaimana yang dianjurkan oleh Allah.
4. Semasa membuat pekerjaan tersebut hendaklah sentiasa menurut hukum-hukum syariat dan batasnya, tidak menzalimi orang, tidak menipu dan tidak menindas atau mencampur hak orang.
5. Segala pekerjaan duniawi itu tidak melalaikan dan mencuaikan dari melaksanakan kewajipan ibadah. Khususnya seperti sembahyang, puasa dan sebagainya sesuai dengan firman Allah :
Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman janganlah hendaklah harta-harta kamu dan anak pihak itu melalaikan kamu dari mengingatkan Allah. Sesiapa berbuat demikian maka merekalah sebenarnya orang-orang yang rugi.
Jadi, bila sahaja seorang mukmin dapat menyempurnakan syarat-syarat di atas dalam mengendalikan segala pekerjaan dan urusan hidupnyao setiap har dia adalah dikira sentiasa beribadat kepada Allah meskipun dia tidak duduk di Masjid atau di surau ketika membuat kerja-kerja itu.
Hikmat Ibadah
1. Ibadah dalam Islam adalah merupakan makanan atau riadah ruhi sebagaimana jasad memerlukan makan dan minuman.
2. Untuk memerdekakan diri manusia daripada menghampakan diri kepada sesuatu makhluk selain daripada Allah.
3. Untuk memberikan suatu keyakinan dan tempat pergantungan yang sebenarnya yang telah menjadi fitrah atau tabi’at semulajadi manusia.
4. Untuk mengembalikan dan meletakkan manusia itu di tempat fitrahnya yang betul sebagai hamba Allah Taala.
5. Ibadah juga merupakan ujian Allah kepada hambanya dalam seluruh hidupnya.
6. Ibadah juga suatu garis pemisah yang membezakan antara Islam dengan kafir dan antara manusia dengan makhluk-makhluk lain.