Ungkapan para sahabat..

Saidina Umar r.a berkata, "Aku lebih rela berjalan di belakang seekor singa daripada berjalan di belakang seorang wanita."
Abu Hurairah r.a. berkata, "Hati adalah raja, sedangkan anggota badan adalah tentera. Jika raja itu baik, maka akan baik pula lah tenteranya. Jika raja itu buruk, maka akan buruk pula tenteranya".
Iman itu ialah ketaqwaan kepada Allah, penuh khauf dan raja'. Jadi apabila kita ditimpa ditimpa sesuatu musibah atau ujian pintalah kepada Allah agar dibesarkan iman untuk kita hadapinya bukan diminta dikecilkan masalah yang kita hadapi.

Saturday, February 26, 2011

Apabila Ibadah Hilang Manisnya


Ibadah adalah jalan mendekatkan diri kepada Allah, baik ibadah-ibadah khusus yang mempunyai aturan-aturan tertentu yang telah digariskan mahupun ibadah-ibadah umum yang lebih luas dan subjektif. Selagi mana sesuatu kebaikan itu dilakukan kerana Allah dan tidak bertentang dengan aturan Allah, maka ia termasuk dalam ibadah.
Firman Allah yang bermaksud :
"Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi (beribadah) kepada-Ku."
(Adz-Dzaariyaat: 56)
Ibadah, baik yang wajib mahupun sunat, seharusnya dapat membawa seseorang merasa lebih nikmat dan indah dalam hidup ini. Setiap kali masuk ke dalam solat, hatinya merasa sungguh tenteram bersama Tuhannya. Apabila keluar daripada solat, hatinya selalu rindu untuk menghadapNya lagi. Tatkala kalam Ilahi dilantunkan, hatinya luluh sehingga mengalirlah butir-butir air daripada pelupuk matanya. Bahkan apabila bibirnya sendiri membaca Al-Quran, hatinya semakin teguh untuk melangkah dalam kehidupan. Itu belum bercerita tentang hal keadaan hamba yang begitu asyik merintih dan memohon rahmat Tuhannya di balik tirai malam. Semuanya terasa begitu mententeramkan, sepatutnya.
Namun, adakah kita sentiasa merasakan segala keindahannya ketika kita sendiri melakukan ibadah-ibadah tersebut dan ibadah-ibadah lain juga? Sejahat-jahat manusia, pasti tetap merindukan ketenangan yang hanya boleh dikecap apabila dia kembali kepada Tuhannya. Sebaik-baik manusia, pasti sesekali merasa malas untuk beribadah kerana hilang asyiknya. Persoalannya, bagaimana kemanisan tersebut boleh lenyap dan bagaimana kita boleh mengecap kemanisannya?
Persoalan khusyuk dalam solat adalah sebuah persoalan yang sangat utama dalam kehidupan. Apabila kita dapat mengecap nikmat khusyuk dalam ibadah terbaik tersebut, pastinya kita bakal memperoleh ketenangan yang luar biasa di luar solat. Kita akan belajar untuk khusyuk menyembah Allah dalam segenap aspek kehidupan. Saya pernah bertanya kepada seorang pensyarah, Dr. Ibrahim Shogar di UIAM Kuantan tentang bagaimana untuk khusyuk. Katanya,"It is very difficult for you to achieve khusyuk at this age of yours (20-an) when you have so much to think and to achieve. What you have to do is keep trying". Memikirkan kembali kata-katanya, ada betulnya. Namun, sudahkah we keep trying?
Ke Mana Hilangnya Kemanisan Tersebut?
Saya ingin menyebut tentang khusyuk yang lebih umum dalam segenap bentuk ibadah. Kecerahan siang itu semakin kelam kerana bertandangnya malam. Kedinginan malam semakin hilang apabila terbitnya mentari yang memanaskan. Cerahnya siang itu berbeza sama sekali dengan gelapnya malam. Begitu juga ibadah, manisnya hilang bersama nikmatnya maksiat. Nikmat maksiat menenggelamkan rasa manisnya ibadah.
Maksiat. Perbuatan curang seorang hamba terhadap Tuhannya. Tak mungkin maksiat dilakukan kerana Allah kerana ia sememangnya adalah sebuah larangan. Apabila ia dilakukan ganti berganti dengan ibadah, pastilah manis ibadah yang menjadi korban kerana tarikan dan nikmatnya maksiat itu lebih kuat. Khusyuknya solat hilang bersama pandangan syahwat yang dilayangkan pada lawan jenis yang bukan mahram. Indahnya kalam Ilahi tak terasa apabila jiwa sentiasa dipenuhi kata-kata cinta makhlukNya, apatah lagi yang belum halal. Malam terasa begitu sejuk untuk bertahajjud kerana tidurnya dalam murka setelah bermaksiat.
Apabila hati tercemar sedikit demi sedikit dengan maksiat, nikmat ibadah pun hilang. Lama-kelamaan, ibadah itu sendiri ditinggalkan. Bertambahlah maksiat kerana meninggalkan suruhanNya. Maksiat itu pasti meninggalkan bekas dalam hati. Sekalipun kita telah berhenti melakukannya, tetap juga kesannya terasa sangat dahsyat. Kesan-kesan dan bekas-bekas yang ditinggalkan inilah yang menyebabkan hati kita sentiasa meronta-ronta untuk kembali melakukannya. Kesan-kesan dan bekas-bekas ini juga yang menjadi hijab kepada rasa nikmatnya beribadah. Paku yang tertancap di tiang boleh dicabut, namun lubang dan kesan karatnya tetap tinggal berbekas.
Kembalikan Kemanisannya
Kembalikan rasa nikmat beribadah itu secepat mungkin, sebelum nikmatnya maksiat itu menghalang kita untuk terus beribadah dan mungkin akan terus berpaling daripada Allah. Ketika itu, kita akan menjadi hamba yang rugi serugi-ruginya. Ketika kita berpaling, maka Allah tidak pernah rugi. Lebih malang jika Dia terus membiarkan kita tersesat tak jumpa jalan kembali.
Jujurlah dalam menilai dirimu. Akuilah segala maksiat yang telah kita lakukan. Tak perlu diceritakan kepada orang lain. Cukuplah kita mengingatkan hati agar membenci segala kemaksiatan dan berusaha untuk mengembalikan kemanisan ibadah. Setelah kita dapat mengenal pasti kecurangan kita, berusahalah untuk meninggalkannya dengan bersungguh-sungguh. Berdoalah agar Allah membantu kita untuk terus taat kepadaNya. Rasulullah mengajarkan doa selepas solat dalam sebuah hadith:
Daripada Muaz bin Jabal RA, beliau berkata: Rasullullah SAW mengambil (memegang) tanganku pada suatu hari lalu berkata: "Wahai Muaz! Demi Allah, sesungguhnya aku mengasihi engkau." Muaz berkata: "Aku sanggup menebus diri engkau dengan ayah dan ibuku wahai Rasullullah SAW; dan demi Allah, aku juga mengasihi engkau." Maka Rasullullah SAW berkata: "Aku berwasiat kepada kamu janganlah kamu meninggalkan pada setiap kali selesai solat untuk mengatakan: "Ya Allah! Bantulah aku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan beribadat dengan baik kepada-Mu".
( Riwayat Abu Daud dan al-Nasa'i )
Doa yang diajarkan baginda ringkas namun membawa maksud mendalam daripada sudut pengharapan seorang hamba kepada Tuhannya. Mengharap agar Allah tidak membiarkan kita terkapai-kapai dalam menempuh perjalanan menujuNya, dalam melakukan ibadah, berzikir dan bersyukur kepadaNya. Sungguh indah doa ini, marilah kita sama-sama amalkannya. Berikut lafaznya dalam bahasa Arab:
اللّهمّ أعنّي على ذكرك وشكرك وحسن عبادتك
( Allahumma A'innii 'Alaa Dzikrika Wa Syukrika Wa Husni 'Ibaadatika )
Apabila laungan takbir tak mampu lagi mengetuk pintu hati dan kalam Ilahi tak bisa melembutkannya, zikrullah tak terasa manisnya dan hidup tak terasa bersamaNya, pasti ada terselit dosa yang terang mahupun sembunyi.
Wahai manusia, yang aku pun termasuk di dalamnya, tinggalkanlah kemaksiatan, perbaikilah ibadahmu dan sabarlah dalam mengerjakannya. Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat dan carilah jalan kembali. Untuk itu, kita perlu bermujahadah melawan hawa nafsu agar Allah memberikan jalan keluar.
"Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar- benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik."
(Al-'Ankabuut: 69)
"Syurga itu dihiasi dengan perkara-perkara yang dibenci sedangkan neraka dihiasi dengan hal-hal yang disukai."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menutup Aurat Itu Seksi ?!


Apabila menyebut tentang menutup aurat, maka si penyebut biasa dikaitkan dengan gelaran ustaz, orang alim, orang agama dan sebagainya. Ia seolah menjadi satu frasa yang khusus untuk orang alim sahaja seolah-olah menyebut tentang sesuatu yang diajar didalam agama itu milik orang alim dan bukannya orang Islam.
Aurat dan seksi adalah dua perkataan yang mempunyai banyak hubungan dalam kebanyakan artikel dan penulisan seluruh dunia. Menyebut tentang aurat, pastinya perkataan seksi adalah lawan baginya. Begitu juga apabila menyebut tentang seksi, sudah pasti ia adalah perkara yang membuka aurat. Saya tidak boleh menafikan perkara tersebut. Itulah adalah perkara yang sekian lama bermain di benak semua orang.
Tapi pernahkah anda terfikir bahawa menutup aurat itu seksi? Bagaimana pula menutup aurat boleh menjadi seksi? Bukankah menutup aurat itu bererti menghilang status seksi?
Disinilah ingin saya sampaikan satu skop pandangan seksi terhadap mereka yang menutup aurat dan sebenarnya seksi inilah yang banyak menarik perhatian ramai lelaki tidak kira sama ada mereka mempunyai iman atau lelaki dari golongan 'buaya darat'.
Didalam kajian psikologi, lelaki sebenarnya mempunyai nafsu fantasi lebih kepada wanita yang menutup tubuh berbanding yang membuka dan mendedahkan aurat. Mengapa ia terjadi sedemikian?
Ini adalah kerana sesuatu yang sukar dilihat,tersembunyi atau diperolehi adalah sesuatu yang berharga. Kerana itu kebanyakan blog atau web yang menggunakan topik wanita muslim bertelanjang sering mendapat respon daripada lelaki bukan Islam dari seluruh dunia. Tetapi selalu yang dipaparkan ialah gambar daripada model yang berpakaian ala Islam kerana hakikatnya wanita muslim sejati tidak akan berbuat demikian.
Cuba kita singkap betapa komuniti yang sudah tegar dan agak biasa dengan situasi wanita yang membuka aurat menganggap wanita muslim mempunyai aset yang bernilai kerana menyimpan keindahan kecantikan fizikalnya hanya kepada yang berhak.
Ia sebenarnya adalah konsep nilai yang ada pada amalan itu sehingga amalan menutup aurat yang samasekali berlawanan dengan seksi itu, dianggap seksi pada kelasnya yang tersendiri.
Lelaki barat atau bukan Islam sebenarnya manusia biasa seperti lelaki Islam. Mereka punyai nafsu dan perasaan. Nafsu mungkin menyeronokkan mereka melihat gadis-gadis mereka berpakaian seksi tetapi jauh di sudut hati ada perasaan cemburu bila gadis yang sudah menjadi kekasih atau isteri dipuji orang kerana keseksiannya.
Konsep Islamophobia sebenarnya banyak menutup mulut lelaki bukan Islam di seluruh dunia mengakui bahawa wanita muslim adalah wanita yang paling seksi di dunia. Ini adalah kerana amalan menutup aurat itu begitu istimewa kepada pemilik wanita itu iaitu suaminya kerana hanya dia seorang yang berhak menikmati keseksian isterinya.
Sedar atau tidak, seksi yang ditafsirkan pada mata kepala sedia ada adalah hanya satu perkara yang menarik perhatian berasaskan nafsu. Berbeza dengan seksi dalam ertikata Islam iaitu menarik perhatian seorang lelaki kepada perempuan itu dalam ertikata yang lebih meluas meliputi maruah, ketaatan, kesungguhan memelihara aurat, memelihara kecantikan untuk hanya yang berhak dan sebagainya.
Tiada bezanya tentang perempuan yang menutup aurat dan membuka aurat dari segi fizikal. Mereka tetap berambut, bertangan, mempunyai mata yang cantik, kulit yang tersendiri dan sebagainya. Kecantikan itu tetap sama, sama ada mereka menutup atau membuka aurat. Tetapi nilai itu yang membezakan mereka. Menutup aurat memang susah dan bukannya perkara mudah. Jauh di sudut hati wanita menutup aurat itu, ingin menayangkan kecantikan mereka kerana wanita seksi sering mendapat perhatian. Kerana itulah melawan nafsu dan keadaan itu adalah susah. Kerana itulah juga wanita menutup aurat itu sebenarnya melatih diri menjadi seorang yang sabar, berpendirian, tabah, bermaruah dan tekun kerana kesungguhan melaksanakan perintah Allah ini serta melawan kehendak nafsu sendiri dan nafsu orang lain.
Allah itu Maha Bijaksana. Apabila seorang gadis terlalu cetek pemikirannya mengeluarkan kenyataan sukar untuk menarik perhatian lelaki sekiranya berselubung berbanding memperlihatkan sedikit kecantikan wanita, maka mereka tidak dapat melihat, tarikan itu umpama gula yang menjemput semut. Habis gula semut pun hilang.
Berkasih-kasihan adalah perkara yang datang dengan tanggungjawab. Apabila tarikan yang diberi memperlihatkan tanggungjawab seorang wanita memelihara kecantikan diri dan agama, maka umpan itu ikannya ialah seorang lelaki yang mahukan pasangan yang bertanggungjawab menjaga maruah dan kecantikan keluarga.
Menutup aurat hakikatnya adalah iklan terbaik bagi wanita untuk memperoleh lelaki sedemikian rupa. Soal sikap adalah perkara kedua. Ada yang mengatakan tidak semua wanita membuka aurat itu jahat. Itu adalah hakikat yang benar.
Membuka aurat bukan menggambarkan seorang itu jahat kerana tidak kurang wanita yang menutup aurat yang berhati busuk. Itu adalah soal hati. Tetapi seorang wanita yang baik hati dan menutup aurat itu lebih dipandang mulia kerana mempunyai pakej yang lebih lengkap.
Sepertimana makanan yang terhidang di atas meja tidak bertudung saji, ada kemungkinan lalat datang menyinggah. Pada pandangan mata, mungkin makanan itu telah dicemari lalat. Berbeza dari makanan yang bertudung saji, akan memberikan lebih keyakinan kepada orang untuk menjamahnya.
Usahlah dibangkitkan persoalan adakah wanita menutup aurat itu semua baik, kerana hakikatnya mereka telah membuat kebaikan dengan mentaati perintah Allah.
Tanyalah diri, mengapa aku boleh berbuat baik kepada manusia tetapi sukar untuk berbuat baik kepada Tuhan. Samalah juga jika kita melanggar lampu merah di jalanraya.Bukan semua yang melanggar lampu itu jahat dan bukan semua yang mengikut peraturan itu baik. Namun melanggar peraturan itu tetap satu perkara yang salah. Wallahu'alam.

Kita Sibuk Dengan Apa?


Kita sering merungut sibuk.. saya sibuk nie.. tak dapat nak hadir majlis ilmu, tak sempat hadir usrah, tak sempat nak hadir mesyuarat dan lain-lain. Tapi tahukah anda bahawa Ar-Rasul adalah manusia yang paling sibuk. Namun kita lihat bagaimana ia memperuntukkan masanya untuk beribadah kepada Allah sehingga bengkak kedua kakinya sedangkan beliau telah dijanjikan syurga.
Ini kerana beliau mahu menjadi hamba yang bersyukur kepada Allah yang telah memberinya banyak nikmat. Maka marilah kita sama-sama ukur sejauh mana kesibukan kita dan kesyukuran kita kepada Allah  s.w.t .
Rasulullah s.a.w. sibuk kerana:
  • Memikirkan masalah umatnya sampai kiamat
  • Bermunajat kepada Allah setiap malam
  • Mengajar ilmu kepada sahabat setiap hari
  • Berperang di jalan Allah
  • Melayani isteri-isteri
  • Menerima dan mengajar Al-Qur'an yang disampaikan oleh Jibrail  selama 23 tahun serta menghafalnya
  • Melayani tetamu dari bangsa Badwi, Yahudi, Parsi, dan lain-lain
  • Menziarah orang sakit (biar muslim, munafiq atau yahudi)
  • Mengajar ilmu  Al-Qur'an kepada Jin
  • Memikirkan untuk menyelamatkan umatnya di hari kiamat (dengan  menyimpan permintaan yang paling besar kepada Allah untuk digantikan  dengan syafaat)
Tetapi kita.... sibuk kerana hanya beberapa perkara :
  • Kerja
  • Keluarga (isteri dan anak-anak)
  • Melangsaikan hutang
  • Main facebook, nengok Youtube
  • Dan lain-lain..
Renungkanlah kata-kata ini pula :
Lebih baik mata itu buta jika tidak menghargai keindahan dan ayat-ayat Allah s.w.t.
Lebih baik telinga itu pekak jika tidak mendengar nasihat-nasihat Allah s.w.t.
Lebih baik anggota badan itu mati jika tidak melaksanakan segala suruhan Allah s.w.t.
Barangsiapa mengaku empat perkara tanpa disertai dengan empat perkara yang lain, maka dia adalah pembohong. Barangsiapa mengaku cinta syurga tetapi tidak beramal dengan ketaatan, maka dia adalah pembohong.
Barangsiapa yang mengaku cinta Rasulullah saw tetapi tidak cinta kepada ulama dan kaum faqir, maka dia adalah pembohong. Barangsiapa yang mengaku takut pada neraka tetapi tidak meninggalkan maksiat, maka dia adalah pembohong. Dan barangsiapa yang mengaku cinta kepada Allah swt tetapi berkeluh-kesah dari bala, maka dia adalah pembohong. _Al-Imam Ghazali

Enam Golongan Yang Sukar Menerima Dakwah


"...(Allah) yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun daripada (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya)." - Surah Al Baqarah: Ayat 255
Banyak buku-buku yang menerangkan tentang metod berdakwah, ciri-ciri pendakwah, mendekati orang yang ingin didakwahkan dan sebagainya. Akan tetapi, penulisan mengenai siapakah orang paling sukar menerima dakwah adalah sangat kurang.
Contohnya, apabila ditanya kepada beberapa orang Islam, apakah isi khutbah jumaat (selepas solat jumaat), mereka tidak ingat malah ada yang tertidur. Ditanya pula apakah isi ceramah, tazkirah dan seumpamanya pada beberapa orang selepas tamat sesi tersebut, jawapan mereka lebih kurang sama. Perkara ini berlaku pada kebanyakan orang, anda boleh bertanya kepada diri sendiri dan boleh juga bertanya pada orang lain untuk melakukan uji kaji kendiri jika mampu bagi memastikan kebenarannya.
Mengenai orang bukan Islam pula, apabila ditanya mengenai agama Islam, mereka lebih mempercayai media cetak, media elektronik, "media angin" (khabar angin), memerhatikan tingkah laku orang Islam yang buruk dan menganggap semua agama adalah sama. Malah tidak kurang juga yang mengatakan Islam menggalakkan keganasan dan mencabuli hak kemanusiaan serta melanggar Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia. Contohnya seperti poligami, menutup aurat dan sebagainya.
"Mereka itulah orang-orang yang hati, pendengaran dan penglihatannya telah dikunci mati oleh Allah, dan mereka itulah orang-orang yang lalai." - Surah An-Nahl: Ayat 108

(Ayat ini ditujukan kepada orang kafir.Sila lihat empat ayat sebelumnya).
Sebenarnya mengetahui sukarnya segelintir golongan menerima dakwah adalah sangat penting kerana segala isi pengajaran yang didapati dalam sesi pembelajaran atau dakwah itu perlu diaplikasikan dalam diri. Dakwah perlu difahami, dipastikan kebenarannya, menerima kebenaran itu dengan jujur, dan kemudian barulah diyakini serta beramal dengannya.
Satu contoh yang mudah, jika seseorang itu berdakwah dengan mengatakan sembahlah Allah yang Maha Besar, maka perlu kita fahami makna "Maha Besar" itu; iaitu tidak ada yang lebih besar melainkan Allah. Kebenarannya, lihatlah isi di langit dan di bumi. Mampukah manusia sekecil kita mencipta bulan, matahari, tanah, lautan dan lain-lain? Kemudian terimalah kebenaran itu dengan jujur dan seikhlas hati dan mengucapkan tiada Tuhan selain Allah yang Maha Besar. 
Katakanlah: "Taat kepada Allah dan taatlah kepada Rasul; dan jika kamu berpaling maka sesungguhnya kewajiban Rasul itu adalah apa yang dibebankan kepadanya, dan kewajiban kamu sekalian adalah semata-mata apa yang dibebankan kepadamu. Dan jika kamu taat kepadanya, nescaya kamu mendapat petunjuk. Dan tidak lain kewajiban Rasul itu melainkan menyampaikan (amanat Allah) dengan terang." - Surah An-Nuur: Ayat 54
Mereka yang Sukar Menerima Dakwah
Persoalannya, sejauh manakah dakwah para pendakwah benar-benar berkesan terhadap penerima dakwah? Sedikit kajian, pemerhatian dan penelitian dalam al-Quran, hadis dan sirah Nabi Muhammad SAW, didapati ada beberapa golongan yang sangat sukar menerima dakwah dan berdakwah kepadanya. Moga-moga kita terhindar daripada menjadi golongan seperti ini.
01.Mereka yang Menolak Kebenaran

"Sesungguhnya binatang (makhluk) yang seburuk-buruknya pada sisi Allah ialah orang-orang yang pekak dan tuli yang tidak mengerti apa-apapun." - Surah Al-Anfaal: Ayat 22

Maksudnya, manusia yang paling buruk di sisi Allah yang Maha Agung ialah yang tidak mahu mendengar dan memahami kebenaran. (Rujukan : Tafsir Ibn Katsir)
Zaman ini, setelah mendengar seruan Nabi Muhammad SAW, mereka mengingkarinya dan mengatakan itu adalah amalan orang-orang lama (konservatif) dan pemikiran yang beku (jumud). Mereka menolak hadis-hadis daripada Rasulullah SAW dengan pelbagai alasan, malah mengatakan hadis-hadis inilah punca perselisihan dan perpecahan umat Islam sekarang.
Orang-orang seperti ini sangat sukar menerima dakwah kerana mereka sendiri enggan mengakui akan kebenaran Al-Quran dan Nabi Muhammad SAW. Perkara ini bukan hanya terjadi pada orang kafir dan munafik sahaja, malah tergolong juga pada orang-orang yang mengaku Islam pada mulutnya, tetapi tidak beriktikad dalam hatinya.
Mereka tetap bersolat dan melaksanakan ibadah sebagai seorang Muslim, tetapi mereka menolak apa yang diperintahkan Allah yang Maha Agung melalui Rasul-Nya dan sebenarnya mereka tidak mengetahui mereka telah cenderung kepada kemunafikan dan kekufuran. Contohnya; Mereka mengatakan ada perkataan dan hukum yang lebih baik daripada Al-Quran, malah mencaci pula Rasulullah SAW dan para sahabatnya.
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah saw bersabda: "Barang siapa taat kepadaku, bererti dia telah taat kepada Allah SWT; dan barangsiapa menderhakaiku, bererti dia derhaka kepada Allah SWT." - Sahih Ibnu Majah: 0003
02.Mereka yang Taksub Mengikuti Tradisi

"Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah," mereka menjawab: "(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati daripada (perbuatan) nenek moyang kami". "(Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apapun, dan tidak mendapat petunjuk?"- Surah Al-Baqarah: Ayat 170
Maksudnya, mereka yang telah diseru supaya mengikut perintah dan larangan Allah yang Maha Agung, tetapi mereka ingkar dan beralasan tradisi nenek moyang tidak boleh ditinggalkan, iaitu penyembahan berhala dan membuat sekutu-sekutu bagi Allah yang Maha Agung. (Rujukan: Tafsir Ibn Katsir)
Zaman ini,  manusia tidak terlepas daripada mengikut tradisi nenek moyang mereka walaupun hal itu bertentangan dengan syariat. Amalan-amalan khurafat zaman dahulu seperti keris sakti pusaka, cincin geliga yang mampu menyembuhkan penyakit, gelang dan rantai yang dapat memberi kesihatan dan pelbagai lagi sekutu-sekutu yang diciptakan bagi menidakkan kekuasaan Allah yang Maha Agung.
Selain itu ada pula yang mengikuti tradisi kitab. Apabila berdakwah kepadanya mengenai sesuatu amalan atau ibadah yang bercanggah dengan syariat dan dikemukakan kebenaran dan faktanya, mereka mengatakan kitab itu hasil nenek moyang mereka dan mereka tetap mengikut kitab itu. Walhal kitab itu penuh penyelewengan seperti penuh hadis palsu, salah faham dalam penafsiran dan sebagainya. Orang-orang seperti ini sangat sukar berdakwah kepadanya kerana mereka begitu taksub dengan tradisi mereka.
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa menyeru ke jalan petunjuk (kebaikan), maka baginya pahala seperti pahala orang-orang yang mengikutinya, yang tidak terkurangi sedikit pun daripada pahala-pahala amal mereka sama sekali. Barangsiapa menyeru kepada jalan yang menyesatkan, maka baginya dosa semisal (sama) dosa orang-orang yang mengikutinya, yang tidak terkurangi sedikit pun daripada dosa-dosa mereka sama sekali." - Sahih Ibnu Majah: 0172
03.Menyangka Majoriti adalah Kebenaran

Apa yang dimaksudkan adalah melihat ramai orang yang melakukan sesuatu kemungkaran dan kita menyangka bahawa perkara itu dibolehkan dalam syariat. Contohnya wanita yang memakai tudung yang jarang, wanita yang berbaju lengan pendek dan mempamerkan bentuk badan, wanita yang menyanyi di pentas (anugerah itu dan ini) dan pelbagai lagi yang bertentangan dengan syariat.
Walaupun contoh diatas pelakunya adalah wanita, tetapi di belakangnya terdapat kaum lelaki yang membiarkan malah menganjurkannya pula kerana mereka (lelaki) juga menyangka perkara itu dibolehkan. Ini termasuk para suami dan para bapa, sedangkan lelaki itu adalah pemimpin kepada wanita dan mereka akan ditanya tentang kepimpinan mereka.
Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita)." - Surah An-Nisaa': Ayat 34
Apabila tiba hari pembalasan, orang yang dipimpin akan mula menyalahi para pemimpinnya kerana terlalu takut. 
Dan mereka berkata: "Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mentaati pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan (yang benar)." - Surah Al-Ahzab: Ayat 67
Apa yang penting adalah, kebenaran itu didasari dengan ilmu. Di manakah pula cara, atau sumber kepada ilmu bagi mendapatkan kebenaran? Jawapannya adalah al-Quran dan hadis termasuk juga ijtihad dan kesepakatan seluruh ulama. Selain itu, terdapat juga ijtihad perseorangan ulama yang muktabar (kepelbagaian pendapat). Kebenaran itu tidak semestinya mengikut majoriti, jika terdapat kesalahan dan kesilapan orang terdahulu kemudian setelah diketahui kebenarannya, hendaklah kita menerima dengan hati yang terbuka dan perbetuli kembali kesalahan dan kesilapan itu agar tidak membiarkan generasi akan datang terus menerus dalam kesilapan.
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda, "Kalau amanah tidak lagi dipegang teguh, maka tunggulah saat kehancuran." Ia (Abu Hurairah) bertanya, Bagaimana orang (yang) tidak memegang teguh amanah itu ya Rasulullah?" Beliau (Nabi SAW) menjawab, "Kalau sesuatu urusan telah diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran." - Sahih Bukhari: 1746
04.Mereka yang Berilmu Pengetahuan

"Maka tatkala datang kepada mereka rasul-rasul (yang diutus kepada) mereka dengan membawa keterangan-keterangan, mereka merasa senang dengan pengetahuan yang ada pada mereka dan mereka dikepung oleh azab Allah yang selalu mereka perolok-olokkan itu." - Surah Al-Mukmin: Ayat 83
Di antara orang yang paling sukar didakwahkan juga adalah orang yang menyangka dia sudah mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup. Sebarang pendapat yang berlainan dengannya akan ditentang habis-habisan walaupun bertentangan dengan hadis Nabi SAW. Mereka akan berhujah dengan kitab itu dan ini, kata-kata guru itu dan guru ini malah mereka lebih mengikut pendapat guru dan kitab mereka melebihi perkataan Rasulullah SAW sendiri.
Apa yang lebih melucukan adalah, mereka menggunakan dalil yang langsung tidak layak seperti surat khabar, radio dan sebagainya bagi menentang atau beralasan menolak hadis Rasulullah SAW.
05.Orang yang Mempunyai Pangkat, Harta dan Kuasa

"Maka apabila manusia ditimpa bahaya ia menyeru Kami, kemudian apabila Kami berikan kepadanya nikmat daripada Kami, ia berkata: "Sesungguhnya aku diberi nikmat itu hanyalah kerana kepintaranku." Sebenarnya itu adalah ujian, tetapi kebanyakan mereka itu tidak mengetahui." - Surah Az-Zumar: Ayat 49
Umum kita mengetahui sepanjang sejarah dakwah para Rasul dan Nabi mempunyai banyak tentangan daripada orang yang mempunyai pangkat, harta dan kuasa (sila rujuk sirah para Nabi dan Rasul). Keadaan ini berterusan pula sehingga ke hari ini, tetapi perlu diingat bahawapengulangan sejarah ini adalah sebagai satu pengajaran buat umat zaman akhir ini. Apakah yang telah terjadi kepada orang-orang yang menentang risalah Rasul mereka? Mereka menerima kebinasaan di dunia dan di akhirat.
Mereka menganggap segala nikmat yang diberikan oleh Allah yang Maha Agung adalah kerana hasil usaha mereka sendiri. Mereka lupa bahawa nikmat itu pasti akan ditanya kembali pada hari pembalasan mengenai apakah yang telah mereka perbuat terhadap nikmat itu. Mari kita perhatikan kata-kata Qarun:
Qarun berkata: "Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku." Dan apakah ia tidak mengetahui, bahwasanya Allah sungguh telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta? Dan tidaklah perlu ditanya kepada orang-orang yang berdosa itu, tentang dosa-dosa mereka. - Surah Al-Qashash: Ayat 78
Kedua-dua ayat diatas menyatakan akan kesombongan golongan yang kelima ini. Apabila didakwahkan kepada mereka agar mentaati perintah Allah yang Maha Agung dan Rasul-Nya, mereka sangat sombong; mereka berkata ada perkataan yang lebih baik dari itu pada zaman moden ini. Tujuan mereka tidak lain hanyalah untuk menambah kekayaan mereka sahaja dan takut rugi dari segi kehilangan pengaruh dan kuasa.
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda, "Setiap umatku masuk ke dalam syurga, selain orang yang enggan." Mereka bertanya, "Ya, Rasulullah, Siapakah yang enggan (masuk syurga) itu?" Jawab Nabi saw, "Siapa yang mematuhi perintahku, masuk syurga dan siapa yang melanggar perintah ku, maka sesungguhnya orang itu enggan (masuk syurga)." - Sahih Bukhari: 1952
06.Sangka Buruk

"Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka, kerana sebahagian daripada prasangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjing (memfitnah, mengumpat atau mengata) satu sama lain. Adakah seorang di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang." - Surah Al-Hujuraat: Ayat 12
Mereka ini sentiasa bersangka buruk pada orang lain, terutamanya kepada orang-orang yang mempunyai kelebihan daripada mereka. Mereka mencari-cari kesalahan orang lain tanpa melihat diri sendiri. Mereka juga menganggap mudah mengenai hal-hal ilmu agama dan melihat orang lain lebih rendah dari mereka.
"Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik daripada mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. - Surah Al-Hujuraat: Ayat 11
Mencela diri sendiri juga bermaksud mencela para mukmin yang lain. Orang seperti ini sukar didakwahkan kerana mereka menganggap orang lain semua sama seperti mereka termasuk juga para ilmuwan dan pendakwah. Padahal dalam al-Quran jelas mengatakan orang yang berilmu tidak sama dengan orang yang jahil.
"... Katakanlah: Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran." - Surah Az-Zumar: Ayat 9
Daripada Aisyah r.a., Rasulullah SAW bersabda, "Orang yang sangat dibenci Allah ialah orang yang suka bermusuh-musuhan." - Sahih Bukhari: 1915
Kesimpulan
Setelah kita mengenali enam golongan di atas, dapatlah kita memperbaiki diri agar lebih mudah menerima pendapat orang lain dan bertolak ansur sesama saudara se-Islam. Mungkin juga kita tergolong dalam salah satu golongan di atas, tetapi kita tidak menyedarinya selama ini.
Kepada para pendakwah, strategi yang betul diperlukan bagi menarik minat orang ingin didakwahkan agar dakwah itu benar-benar memberi pemahaman kepada penerimanya. Selain itu, isu-isu yang diutarakan juga perlulah lebih segar, iaitu isu-isu yang berkaitan dengan kehidupan semasa supaya contoh-contoh yang diberikan nampak lebih jelas dan mudah untuk mereka memahaminya.
Hanya kepada Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayanglah kita memohon perlindungan agar terhindar daripada menjadi enam golongan di atas. Kesabaran dalam berdakwah amat diperlukan, janganlah sesekali berputus asa kerana putus asa hanyalah sikap orang kafir.
"Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar." - Surah Al-Baqarah: Ayat 153
Daripada Mu'awiyah r.a., Rasulullah SAW bersabda: "Sentiasa ada segolongan umatku yang selalu berjuang menegakkan agama Allah Ta'ala. Mereka tidak akan celaka oleh orang-orang yang menghina atau menentang mereka sampai hari kiamat. Bahkan mereka tetap menang atas semua manusia." - Sahih Muslim: 1873