Apakah yang kita lakukan apabila bangun pagi? Biasanya, setelah menggeliat dan menggenyeh mata, kita akan terus ke bilik air untuk menggosok gigi. Selepas itu mandi, bersabun dan bersyampu. Usai bersolat, kita bersolek. Bagi perempuan, wajah jadi cantik setelah dilukis semula. Bagi lelaki pula, wajah kembali terurus setelah membuat landscaping kecil dengan menebas misai dan janggut serta menyikat rambut.
Buat orang lelaki, tali leher yang terjerut kemas akan menampilkan gaya yang segak. Bagi orang perempuan, busana yang diperagakan akan menganggunkan ketrampilan. Perfume yang disembur menyegarkan bau tubuh dan menaikkan aura. Orang yang berselisih dengan kita boleh terhenti untuk menghidu bau minyak wangi yang kita pakai.
Itulah kebiasaan yang kita lalui sebagai manusia yang berkerjaya. Bagi golongan suri rumah, pelajar, mahupun yang masih belum bekerja, rutin harian yang dilalui lebih kurang sama juga. Dalam masa tidak sampai sejam, kita sudah pun siap. Kita lalui semua proses mendandan diri separuh robotik ini sebaik sahaja bangun tidur.
Itulah kebiasaan yang kita lalui sebagai manusia yang berkerjaya. Bagi golongan suri rumah, pelajar, mahupun yang masih belum bekerja, rutin harian yang dilalui lebih kurang sama juga. Dalam masa tidak sampai sejam, kita sudah pun siap. Kita lalui semua proses mendandan diri separuh robotik ini sebaik sahaja bangun tidur.
Namun, pernahkah kita berhenti seketika, termenung dan merenung kembali buat seketika? Apabila bangun tidur, sebelum melompat atau bermalas-malas mengheret kaki ke bilik air, terciumkah kita bau tubuh sendiri terutamanya bau yang datang daripada mulut kita? Wangikah ia?
Apabila membelek wajah di cermin, lihatlah kelayuan mata sendiri yang cengkung dan bergelanggang kerana belum dipalit kelilingnya dengan celak dan shadow. Berapa garis kedutkah yang kita ada. Kurang daripada sepuluh atau sudah tidak terkira? Biasanya kita tidak sempat membilangnya kerana cepat-cepat menutupnya dengan bedak.
Bila diperhatikan betul-betul, rambut kita yang ikal seperti seludang kelapa sudah semakin lurus seperti berus periuk terpakai. Tidak lama lagi, warna putihnya akan melebihi warna hitamnya. Misai yang tebal pun sudah jarang-jarang dan tidak tentu hala tumbuhnya.
Otot-otot di tepi bibir yang biasanya ternaik hingga menyerlahkan wajah kita seperti orang yang sentiasa tersenyum, kini sudah kendur. Akibatnya, wajah kita yang serius kelihatan seperti sedang mencebir; menjadikan wajah kita persis orang yang sudah putus urat senyumnya.
Carilah kembali tanda lahir di tubuh, sama ada tompok putih di belikat atau garis di celah paha ~ yang hanya diketahui juga oleh pasangan kita; yang juga menandakan kita bukan manusia sempurna seperti batang tubuh artis yang sudah diphotoshop di komputer. Bagaimana pula perut yang punyai kesan pecah lemak hingga berjalur-jalur pecah seribu, tompokan hitam atau kutil yang mula tumbuh di merata tubuh?
Dan, lihatlah diri kita secara keseluruhan di cermin secara 360 darjah. Tataplah bentuk tubuh kita sendiri daripada hujung rambut hingga ke hujung kaki. Kepala, leher, tengkuk, bahu, lengan, dada, perut, paha, betis dan akhir sekali, kaki. Eh, sejak bila lubang hidung kita dah tak sama saiz rongganya? Bila pula tubuh kita rebeh sebelah?
Kita kini tidak lagi persis model yang cantik dengan keluk, lekuk dan luk di bahagian-bahagian yang sepatutnya. Justeru itu, apakah kita kini seorang manusia... atau kita telah bertukar menjadi makhluk yang menggelembung di sana-sini di bahagian-bahagian yang tidak seharusnya?
"Tidur itu saudara mati." Demikian sabda Rasulullah, s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Bazzar, al-Tabarani dan Baihaqi. Ertinya, bangunnya kita daripada tidur itu seumpama bangun daripada mati. Wajah kita pucat, tidak terurus, tidak bermaya dan berbau. Sebenarnya tubuh dan wajah kita amat hodoh sekali!
Tetapi, oleh kerana terlupa mahu melihat kekurangan fizikal diri sendiri, kerana hendak berkejar menyoleknya, maka kita sudah alpa akan kecacatan bentuk zahir kita. Apabila kita menyarung baju yang lengkap dengan jalur dan warnanya, atau ropol dan rendanya, kita kelihatan segak sekali. Maka apabila mengatur langkah dengan bergaya kerana kasut tumit tinggi menjadikan postur tubuh membusung di ponggong dan dada... wah siapa yang tidak ingin menatap lebih daripada sekali?
"Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya)." (Az-Zumar 39:42)
Sedangkan fizikal kita sendiri kita lupakan kerana sentiasa disalut dengan pakaian yang indah-indah, bagaimana pula dengan spiritual kita? Jika yang boleh dilihat itu tidak selalu dipandang, bagaimana pula dengan bahagian diri kita yang tidak dapat ditilik?
Apakah batin kita secantik yang kita anggap selama ini?
Ataupun ia lebih hodoh daripada kita yang zahir ini?
No comments:
Post a Comment